19 Oktober 2010

Golongan Anti Hadis

GOLONGAN ANTI HADIS

oleh Islamic Glory pada pada 29hb Ogos 2010 pukul 2.20 ptg
Golongan Anti Hadis adalah mereka yang menolak atau meragui Hadis atau Sunnah Nabi Muhamad s.a.w. sebagai sumber kedua syariat Islam selepas al-Quran.

Pandangan kita Ahlus Sunnah Wal Jamaah
Hadis atau Sunnah Nabi Muhamad s.a.w. merupakan sumber kedua syariat Islam selepas al-Quran.
Sumber pengambilan hukum yang terlah disepakati oleh para ulamak ada empat, iaitu:   1 . Al-Quran   2 . Al-Sunnah atau Hadis   3 . Ijmak   4 . Qiyas.

Sejarah Golongan Anti Hadis Golongan Anti Hadis Pada masa sahabat
Al-Hasan berkata, semasa Imran bin Husain sedang mengajar Hadis, terdapat seorang yang meminta agar tidak perlu mengajar Hadis, memadai dengan al-Quran sahaja. Imran menjawab: "Engkau dan sahabat-sahabat engkau boleh membaca al-Quran. Mahukah engkau mengajarkanku sembahyang dan syarat-syaratnya kepadaku? Atau zakat dan syarat-syaratnya? Engkau selalu tidak hadir. Sedangkan Rasulullah s.a.w. telah mewajibkan zakat begini.. begini.." Orang itu menjawab: "Terimakasih, aku baru sedar." Dan dikemudian hari orang itu menjadi seorang ahli fikah.
Perkara yang terjadi kepada Umayah bin Khalid pula. Dia sedaya upaya cuba mencari penyelesaian seluruh masalah dengan hanya merujuk kepada al-Quran sahaja. Akhirnya dia berkata kepada Abdullah bin Umar bahawa di dalam al-Quran dia hanya berjumpa dengan masalah sembahyang di rumah dan ketika perang sahaja. Sedangkan masalah sembahyang musafir tidak dapat ditemui. Abdullah bin Umar menjawab: "Wahai keponakanku, Allah telah mengutuskan Muhamad s.a.w. dan kita tidak tahu apa-apa. Kita kerjakan sahaja apa yang Nabi s.a.w. lakukan."
Ayub al-Sakhtiyani berkata: "Apabila engkau mengajar Hadis kepada seseorang, kemudian dia berkata: "Tak perlu pakai Hadis, ajarkan kami al-Quran sahaja", maka ketahuilah bahawa orang itu sesat dan menyesatkan."
********* Di atas, jelas bahawa bibit-bibit anti hadis sudah mulai wujud sejak zaman sahabat lagi. Cuma ia tidak serius dan masih berbentuk pandangan individu, tidak secara kelompok, jamaah atau gerakan. Dan ia berlaku disebabkan salah faham terhadap kedudukan hadis sebagai sumber syariah. Namun dengan cepat ia diperbetulkan.
Sejak masa berkenaan, pandangan mahukan al-Quran sahaja tanpa hadis lenyap pada akhir kurun kedua hijrah. Ia tidak kedengaran lagi. Kerana umat pada masa lalu sepakat menerima Hadis sebagai sumber kedua hukum di dalam Islam. Baik Dari kelompok majoriti – Ahlus Sunnah maupun kelompok-kelompok kiri yang majoriti seperti Syiah, Muktazilah dan Khawarij – masing-masing menerima Hadis sebagai sumber hukum. Walaupun ada beberapa pendapat yang mengatakan bahawa kaum Muktazilah adalah termasuk di dalam golongan anti hadis, tetapi pendapat ini tertolak samasekali. Pendapat berkenaan bergantung kepada beberapa riwayat (cerita), sedangkan kenyataannya Muktazilah menerima Hadis. Ini berlaku kerana seorang yang bermazhab Muktazilah bernama al-Nazam telah menolak Hadis. Ini pendapat ini tidak lebih dari pendapat peribadi beliau, bukan pendapat Muktazilah. Buktinya, majoriti orang-orang Muktazilah mengkafirkan beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan